Lebih 600 pelajar sekolah agama positif Covid-19

BANYUWANGI, Indonesia – Lebih 600 pelajar di sebuah sekolah agama di Indonesia disahkan positif Covid-19, menurut pegawai Kementerian Kesihatan Indonesia.

Penemuan itu adalah kes terbaharu dikesan selepas sesi persekolahan dibuka semula di negara berkenaan.

Sekolah agama berasrama Darussalam Blokagung di Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur kini dikenakan kuarantin selama dua minggu, membabitkan seramai 6,000 pelajar.

Seramai 664 pelajar sekolah berkenaan disahkan dijangkiti virus korona, menurut laporan agensi berita AFP.

Kebanyakan kes itu tidak menunjukkan simptom jangkitan Covid-19 namun, polis tempatan serta pihak tentera menutup akses ke sekolah berkenaan.

Kakitangan petugas khas mencegah penularan Covid-19 di Indonesia membantu menyediakan makanan untuk sekumpulan pelajar yang dikuarantin di sekolah agama berasrama Darussalam Blokagung. – BUD/AFP

“Semua aktiviti perlu digantung. Solat berjemaah juga terpaksa dihentikan sementara dan semua pelajar perlu tinggal di dalam bilik masing-masing,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Benget Saragih semalam.

Ujian pemeriksaan kesihatan berskala besar-besaran dilakukan pada pertengahan Ogos lalu selepas beberapa pelajar mengadu berasa kurang sihat, menurut pihak sekolah.

Indonesia ialah negara dengan penduduk Islam terbesar dunia dan mempunyai beratus-ratus buah sekolah agama berasrama penuh.

Kes jangkitan beramai-ramai itu berlaku selepas hampir 1,300 orang di sebuah akademi tentera Indonesia didapati positif virus korona pada Julai lalu.

Indonesia hari ini mencatat lebih 3,000 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah kes jangkitan melebihi 180,000 orang dengan 7,616 kematian. – AFP

The post Lebih 600 pelajar sekolah agama positif Covid-19 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *