Lebih 1,000 hadir solat jenazah Kadi Johor Bahru

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Jenazah Kadi Johor Bahru, Allahyarham Mohd. Fahami Abd. Samad selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin, di sini pada pukul 10 pagi, hari ini.

Upacara pengebumian itu berjalan lancar dengan dihadiri pegawai-pegawai kerajaan, keluarga serta sahabat Allahyarham.

Antara yang hadir termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut.

Allahyarham yang berusia 45 tahun dilaporkan lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin, Pahang semalam.

Sementara itu, Tosrin menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat kerajaan negeri dan masyarakat Islam khususnya di negeri ini.

“Beliau merupakan seorang pegawai kerajaan yang gigih menjalankan tugas dan telah membantu ramai pihak khususnya dalam hal-hal berkaitan agama dan dakwah.

“Mewakili kerajaan negeri saya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sama-sama hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah,” katanya sambil memberitahu lebih 1,000 menunaikan solat jenazah di Masjid Al-Jawahir, Taman Mutiara Rini. – K! ONLINE.

The post Lebih 1,000 hadir solat jenazah Kadi Johor Bahru appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *