Langkawi antara lokasi zon merah dalam senarai AADK

KUALA LUMPUR – Pulau peranginan Langkawi,Pengkalan Chepa, Kelantan, Kuala Dungun, Terengganu dan Petaling Jaya Selatan satu hingga enam di Selangor masih diklasifikasikan dalam zon merah susulan mempunyai masalah sosial dan kadar kes jenayah tinggi khususnya membabitkan penyalahgunaan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, empat kawasan berkenaan kekal dengan status zon merah berikutan ada beberapa indikator yang belum dipenuhi untuk ke zon kuning atau hijau.

Katanya, kawasan tersebut merupakan empat daripada 12 kawasan yang menjadi projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu.

“Kita perlu ambil kira pembanterasan aktiviti pembekalan dan penagihan dadah di kawasan tersebut sebelum ia dinyahkan daripada senarai zon merah.

“Selain itu, perubahan warna di satu-satu kawasan berkenaan juga turut mengambil kira permasalahan sosial selain membabitkan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Program “We Love, We Serve, We Hope” di Pusat Komuniti Gombak Setia di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.

Projek rintis berkenaan diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula Julai tahun lalu yang kemudiannya akan dinilai keberkesanannya sebelum model berkenaan digunakan di lokasi lain di seluruh negara.

Sebanyak 12 kawasan terbabit dalam projek rintis itu antaranya Petaling, Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor,  Selangor; Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun,  Terengganu; Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Pengkalan Chepa, Kelantan serta Perling dan Parit Sulong di Johor. – K! ONLINE

The post Langkawi antara lokasi zon merah dalam senarai AADK appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *