KSU, KP diingatkan capai KPI ditetapkan kerajaan

SHAH ALAM – Semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) diingatkan agar mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan bagi menggerakkan ekonomi negara yang tergendala akibat pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, beliau secara peribadi telah melaksanakan perkara tersebut selain telah mengadakan mesyuarat pertama berkaitannya sebelum ini.

“Cuma selepas daripada ini, saya telah beri peringatan sekali lagi kepada KSU dan KP akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang disebutkan dan ditetapkan kepada mereka tercapai.

“Jadi, kita kena cari jalan kerana ini faktor untuk menggerakkan ekonomi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan koperasi Kobuniti Selangor Berhad dan penyampaian sijil keahlian koperasi tersebut di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Zuki menyatakan kerajaan bercadang memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baharu kepada semua KSU dan KP di setiap kementerian serta agensi bagi membolehkan pelaksanaan penilaian yang lebih baik dalam perkhidmatan awam.

Pendekatan itu disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi memastikan program penjanaan semula ekonomi negara pasca-Covid-19 dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Mengulas mengenai cadangan Cuepacs berhubung pengkajian semula sistem persaraan kakitangan kerajaan, Mohd. Zuki menegaskan perkara tersebut belum diusulkan secara rasmi kepada kerajaan.

“Saya tidak dengar lagi, belum angkat lagi kepada kami secara rasmi dan mungkin (itu) permintaan atau cadangan Cuepacs tetapi belum sampai pertimbangan kerajaan,” jelasnya.

Berhubung perasmian Koperasi Kobuniti itu, beliau menzahirkan kekagumannya terhadap kejayaan program yang telah dilaksanakan dalam meningkatkan pendapatan golongan B40 terutama dalam sektor pertanian. -K! ONLINE

The post KSU, KP diingatkan capai KPI ditetapkan kerajaan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *