KPKT siasat dua projek rundingan terus

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) beri jaminan akan melakukan siasatan terhadap isu yang timbul membabitkan penawaran dua projek secara rundingan terus bernilai RM170.79 juta seperti yang didedahkan Kementerian Kewangan semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana dua projek yang diluluskan kepada kementeriannya sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibuat di luar pengetahuan beliau.

“Saya maklum mengenai kenyataan Kementerian Kewangan membabitkan projek rundingan terus sewaktu pentadbiran PH yang turut mengaitkan KPKT menawarkan projek rundingan terus.

“Ingin saya tegaskan dua projek yang diluluskan kepada KPKT, sewaktu saya menjawat tugas sebagai menteri semasa pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuan saya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kementerian Kewangan semalam menyenaraikan 101 perolehan kerajaan secara rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang dilaksanakan pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Berdasarkan senarai diberikan, Kementerian Pengangkutan mendahului senarai tertinggi dengan empat projek bernilai RM4.47 bilion diikuti Kementerian Pertahanan (RM900 juta) dengan enam projek, lapan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM517.68 juta), 12 projek di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (RM380.12 juta) dan dua projek di bawah KPKT (RM170.79 juta).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, senarai itu didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran. – K! ONLINE

The post KPKT siasat dua projek rundingan terus appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *