KPDNHEP tahan tiga peniaga pakaian tiruan di Dungun

DUNGUN – Tiga peniaga ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana disyaki menjual pakaian berjenama tiruan dalam tiga serbuan berasingan hari ini.

Serbuan sekitar daerah ini bermula pada pukul 8.15 pagi itu turut merampas 1,224 helai pakaian yang disyaki mempunyai cap dagangan tiruan bernilai keseluruhan RM30,230.

Ketua KPDNHEP Cawangan Dungun, Muhammad Khairuddin Ali @ Abdul Aziz berkata, anggota penguat kuasa turut menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30 hingga 35 tahun yang merupakan peniaga pakaian terbabit.

“Serbuan di tiga premis perniagaan tersebut dilakukan selepas mendapat aduan berhubung penjualan pakaian tiruan berjenama berkenaan.

“Operasi tersebut turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Khairuddin berkata, ketiga-tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Jika sabit kesalahan, hukuman denda RM10,000 bagi setiap barang tiruan mempunyai cap dagangan berdaftar atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

The post KPDNHEP tahan tiga peniaga pakaian tiruan di Dungun appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *