KPDNHEP bincang buka sebahagian sektor perniagaan

DENGKIL – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka beberapa sektor perniagaan yang lain.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, antara sektor perniagaan tersebut adalah kedai pakaian, kedai barangan sukan, kedai kelengkapan barangan rumah serta peralatan dapur dan kedai kosmetik.

Beliau berkata, kementerian memahami keperluan untuk membuka semua sektor perniagaan dengan syarat kedua-dua peniaga dan pengguna patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya agar penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Kita sebolehnya mahu semua sektor perniagaan yang masih belum dibuka dibenarkan beroperasi dengan syarat semua pihak bersetuju untuk bekerjasama mematuhi SOP PKP di tahap yang tinggi.

“Bagaimanapun ini bergantung kepada hasil perbincangan dengan MKN yang sedang berjalan,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Alexander mengadakan lawatan ke sebuah kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, Selangor.

Lawatan itu adalah bagi meninjau bekalan dan proses pengeluaran minyak masak sawit dari ladang ke kilang dan dari kilang ke pemborong dan peruncit.

Sementara itu, Alexander berkata,  kekurangan bekalan minyak masak peket polibeg 1 kilogram (kg) di sesebuah premis peruncit hanyalah bersifat sementara disebabkan kehabisan stok berikutan peruncit perlu menunggu penghantaran baru daripada pemborong mereka.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP telah mendapat mandat dan peruntukan dari kerajaan untuk melaksanakan Program bersifat ‘People-Centric’ dan salah satunya ialah menyediakan subsidi minyak masak peket polibeg 1kg pada harga kawalan untuk meringankan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 79 kes penyelewengan minyak masak telah dikesan tahun lalu dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM664,856. -K! ONLINE

The post KPDNHEP bincang buka sebahagian sektor perniagaan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *