Kos pelancongan lebih murah 20 peratus

KUALA LUMPUR – Kos me­lancong dalam negara yang kini berada pada harga lebih rendah iaitu antara 15 hingga 20 peratus memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyokong industri pelancongan domestik.
Ketua Negara OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk berkata, perubahan ketara bagi harga kos penginapan dan logistik berbanding sebelum PKP dilaksanakan adalah kerana lebihan penawaran dalam sektor perhotelan dan harga bahan api yang lebih murah.
Menurut beliau, pengunjung kini boleh mendapatkan bilik untuk dua orang pada kadar se­rendah RM40 di OYO, manakala hotel mewah turut dilihat menawarkan diskaun menarik.
“Fokus industri ketika ini sepatutnya mengembalikan keyakinan dan minat rakyat Malaysia untuk keluar melancong, susulan kebimbangan akibat penularan wabak Covid-19 sebelum ini.
“Keutamaan kami ialah ke­selamatan tetamu dan semua hotel OYO mengguna pakai sistem operasi standard (SOP) yang disyaratkan Kementerian Kesihatan seperti penjarakan fizikal, proses nyahkuman dan sentuhan minimal ketika melakukan daftar masuk.
“OYO juga telah berhubung dengan setiap kerajaan negeri bagi membangunkan promosi serta kempen untuk merancakkan kembali industri pelanco­ngan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di ibu pejabat OYO Malaysia di Mid ­Valley di sini baru-baru ini.
OYO kini bekerjasama de­ngan hampir 800 buah hotel di 75 bandar seluruh negara, melibatkan penawaran lebih daripada 20,000 bilik.
Jenama tersebut yang telah beroperasi di negara ini sejak penghujung tahun 2017 memberikan sokongan jenama yang kukuh, SOP serta saluran jualan online dan offline kepada rakan hotel dengan pengenaan bayaran berasaskan komisen.
Menurut Ming Luk, purata kadar sewaan bilik bagi OYO Malaysia pada Julai lalu berada pada paras 35 hingga 40 peratus dan pihaknya telah mula me­nyaksikan peningkatan kehadiran tetamu terutamanya di kawasan tumpuan pelancong yang mudah diakses melalui perjalanan darat seperti Melaka dan Pulau Pinang.
Katanya, sebelum ini, lebih daripada 90 peratus daripada pelanggannya terdiri daripada pelancong domestik.
“Disebabkan faktor ber­kenaan, prestasi kami jauh lebih baik daripada hotel empat atau lima bintang.
“Saya yakin syarikat mampu mencapai semula paras sewaan sebelum Covid-19 iaitu pada sekitar 60 peratus.
“Namun kadar itu bakal dicapai dalam tempoh setahun lagi,” katanya.
Ditanya mengenai impak negatif Covid-19 kepada syarikat, Ming Luk menerangkan, syarikat terpaksa memberhentikan sekitar 10 peratus pekerja bagi me­ngurangkan kos dan meningkatkan kecekapan.

The post Kos pelancongan lebih murah 20 peratus appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *