KiplePay mudahkan pembayaran urusan jenazah secara online

KUALA LUMPUR – Pelanggan perkhidmatan pengurusan jenazah, M-Jannah dan Darul Jenazah kini boleh membuat pembayaran langganan pada bila-bila secara online menerusi aplikasi, KiplePay.

M-Jannah dan Darul Jenazah adalah perkhidmatan pengurusan jenazah patuh syariah yang ditawarkan hasil kerjasama Bank Muamalat dengan Bumijez Sdn. Bhd.

Pengurus Wilayah Tengah Bank Muamalat, Anaruddin Abas berkata, aplikasi yang dibangunkan syarikat tempatan, Green Packet Bhd. itu akan memudahkan urusan pelanggan M-Jannah dan Darul Jenazah sedia ada tanpa perlu ke kaunter bank.

Menurutnya, pembayaran menerusi aplikasi KiplePay itu tercetus susulan kesulitan pelanggan untuk membuat pembayaran di kaunter ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Dengan adanya inisiatif ini, Bank Mualamat berhasrat untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan M-Jannah kepada pelanggan selaras dengan aliran teknologi masa kini.

“Aplikasi ini juga memudahkan pelanggan M-Jannah dan Darul Jenazah menguruskan kematian tanpa tunai serta menggalakkan pelanggan menggunakan medium pembayaran tanpa tunai,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Platform Pembayaran Digital ­M-Jannah dan Darul Jenazah di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bumijez, Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, dengan pelancaran aplikasi itu, pihaknya menyasarkan pertambahan pelanggan baharu antara 3,000 hingga 4,000 orang sebulan.

“Perkhidmatan kami sudah bermula sejak 2009 di Lembah Klang sebelum berkembang ke seluruh negara,”ujarnya.

Menurutnya, keahlian M-Jannah bermula pada ­harga serendah RM80 setahun ­de­ngan perkhidmatan pengurusan jenazah lengkap bernilai RM1,500 malah turut disertakan zikir, tahlil, khatam al-Quran dan wang khairat RM1,500 kepada waris.

The post KiplePay mudahkan pembayaran urusan jenazah secara online appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *