Kerani maut dan suami cedera parah, kereta terbabas di LPT 2

Oleh NOOR HAYATI MAMAT

HULU TERENGGANU – Seorang kerani maut manakala suaminya cedera parah setelah kereta Toyota Vios dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas merempuh besi penghalang jalan di Kilometer 392.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang itu, Tuan Isma Farazilahidayah Ismail, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala suaminya, Mohd. Haqimee Che Lah, 30, pula cedera parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pasir Gudang, Johor dari kampung halaman di Kampung Gong Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Toyota Vios yang dipandu Mohd. Haqimee merupakan seorang operator pengeluaran kilang tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki suami isteri itu remuk teruk di bahagian hadapan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, siasatan awal percaya kereta Toyota Vios yang dinaiki kedua-dua mangsa kemungkinan terbabas kerana jalan licin ekoran cuaca hujan.

Beliau berkata, Tuan Isma Farazilahidayah yang duduk di tempat penumpang hadapan maut di lokasi kejadian.

“Mohd. Haqimee yang cedera parah pada kepala dan beberapa anggota badan telah dikejarkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Hulu Terengganu di sini.

“Mayat Tuan Isma Farazilahidayah pula telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

The post Kerani maut dan suami cedera parah, kereta terbabas di LPT 2 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *