Kerajaan belum mahu laksana PKP

PUTRAJAYA – Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 termasuk rekod kes harian tertinggi sebanyak 287 kelmarin

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, penularan jangkitan Covid-19 dalam negara masih terkawal dengan sebahagian besar melibatkan kes-kes terasing di dalam penjara di Kedah dan Sabah.

“Kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana kalau kita lihat hanya satu hingga tiga kes direkodkan di negeri-negeri lain dan ini bukan perkara yang membimbangkan.

“Kalau ada satu atau dua kes, dan kita nak laksana PKP seluruh negara, sampai bila-bila pun negeri-negeri ini tidak boleh dibuka kerana PKP akan terus dikenakan seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar khas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, hanya 1.18 peratus daripada kira-kira 13,000 individu yang pulang dari Sabah sehingga hari ini lalu didapati positif Covid-19.

“Ramai kata ahli politik dijangkiti Covid-19 tetapi yang balik dari Sabah bukan mereka sahaja tetapi orang ramai yang pulang dari melancong, tugas rasmi, urusan perniagaan dan sebagainya.

“Hanya satu peratus atau 132 daripada pengembara ini didapati positif Covid-19 dan bukan ahli politik semata-mata,” katanya. -K! ONLINE

The post Kerajaan belum mahu laksana PKP appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *