Kematian tragis gadis Dalit cetus kemarahan di India

NEW DELHI – Seorang remaja Dalit yang didakwa dirogol oleh empat lelaki kasta lebih tinggi, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya hari ini sekali gus mencetuskan kemarahan aktivis, ahli politik India dan bintang Bollywood.

Seramai 200 juta penduduk kasta Dalit di India sudah lama berdepan diskriminasi dan penderaan, manakala aktivis-aktivis berkata, serangan seksual terhadap mereka meningkat ketika pandemik koronavirus.

Gadis berumur 19 tahun itu diserang secara kejam di negeri Uttar Pradesh, utara India pada 14 September lalu, demikian menurut aduan yang difailkan keluarga mangsa kepada polis.

Pihak berkuasa berkata, empat lelaki tersebut telah diberkas.

Ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan lumpuh akibat kecederaan pada leher dan tulang belakangnya, mangsa dibawa ke sebuah hospital tempatan sebelum dihantar ke New Delhi kelmarin selepas keadaannya semakin tenat.

“Dia meninggal dunia ketika dirawat pagi tadi. Kami akan memastikan siasatan dan perbicaraan kes ini disegerakan,” kata ketua polis daerah Hathras, Vikrant Vir.

Dalam pada itu, personaliti Bollywood dan aktivis hak wanita menggunakan media sosial untuk mengutuk serangan itu.

“Hari yang penuh kesedihan. Berapa lama lagi kita akan membiarkan perkara ini terus berlaku,” kata pengarah dan penerbit filem Bollywood, Farhan Akhtar.

Hampir 34,000 kes rogol dilaporkan di negara itu pada 2018 tetapi angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa enggan tampil membuat aduan. – AFP

The post Kematian tragis gadis Dalit cetus kemarahan di India appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *