Kelantan United bagi dua gol mudah

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih sementara Kelantan United (KUFC), Nazrulerwan Makmor mengakui, skuad bimbingannya beraksi di bawah tahap sebenar selepas tewas 2-3 kepada Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu semalam.

Kata Nazrulerwan, barisan pemainnya melakukan kesilapan mudah apabila menghadiahkan pihak lawan menjaringkan gol dalam masa yang singkat sekali gus melenyapkan harapan mereka untuk mengutip mata penting.

“Secara jujur, saya tidak boleh terima dua gol mudah dalam jangka masa yang amat singkat dilakukan oleh TFC II. Kesilapan seperti itu perlu dielakkan oleh barisan pertahanan kami kerana ia boleh menghukum pasukan.

“Kini, berbaki dua perlawanan lagi dan saya harap dapat membantu pasukan mengutip mata penting kerana mereka adalah pemain yang berkualiti dan berkebolehan. Cumanya kami perlu mengurangkan kesilapan mudah,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC II, Roshaidi Wahab berpuas hati dengan aksi dipamerkan anak-anak buahnya dalam meraih kemenangan meskipun berdepan cabaran sengit daripada pasukan tuan rumah.

“Kali ini kami dapat bermain dengan skuad utama yang mana barisan pemain mendengar setiap arahan taktikal diterapkan saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan berharap ia dapat diteruskan pada dua perlawanan akan datang,” katanya. – K! ONLINE

The post Kelantan United bagi dua gol mudah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *