Kebanggaan orang Parit Buntar, Harussani disegani kawan dan lawan

Saya mengenali Tan Sri Dr Harussani Zakaria sejak di bangku sekolah sebagai ‘anak murid’ kepada ayahanda saya Haji Yusof Rawa.

Waktu itu Allahyarham bertugas sebagai guru agama dan kemudian Kadi Besar Pulau Pinang. Hubungan mereka bukan sekadar guru dan anak murid tetapi berkekalan menjadi sahabat dan teman bermuzakarah.

Saya masih remaja mentah pada waktu itu. Saya selalu memerhatikan Allahyarham dan ayahanda sering berbincang bertukar pandangan dalam kunjungannya ke rumah kami.

Lagipun, rumah beliau tidak jauh dari rumah kami di sekitar perumahan Bukti Gelugor. Saya cuma perasan suara ‘ustaz’ ni agak unik kerana apabila bercakap nadanya mendalam dan bahasanya bukan macam orang Pulau Pinang walaupun sesekali bercampur pelat utara.

Wajahnya ceria tetapi tampak tegas dan berprinsip pegangan agamanya. Songkok hitamnya tidak pernah lekang di kepala, pakaiannya senantiasa kemas dan sering berkasut hitam. Layaknya memang seorang tokoh agama yang berketerampilan dan disegani.

Anaknya Hakim satu sekolah dengan saya di Penang Free School PFS, beliau tiga tahun lebih junior dari saya. Dia meminati ragbi dan saya berhenti main selepas berada dalam pasukan bawah 15 tahun untuk saya tumpu pada Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) yang lebih saya minati.

Kami berkawan juga atas sifat hubungan baik Allahyarham dan ayahanda dan kerana kami dalam satu kejiranan. Selain itu TS Harusani sering berkunjung ke kedai kami di Lebuh Acheh untuk membeli buku ataupun sekadar bermuzakarah dengan ayah di bilik pejabatnya.

Saya bertemu dengan TS Harusani setelah kembali dari Mesir semasa bertugas di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah sebagai guru agama/Bahasa Arab pada tahun 1992.

Beliau waktu itu sudah pun menjadi Mufti Perak, saya rasa amat bertuah dapat menghubungi silatul rahim dengannya kerana beliau sangat menghargai hubungan persahabatannya dengan Allahyarham ayahanda saya.

Ketika saya bertanding PRU di Parit Buntar 2008, beliau ada menghubungi saya mendoakan saya berjaya. Usai PRU 2008 saya diberi mandat mewakili Parlimen Parit Buntar P057.

Beliau sekali lagi menghubungi saya mengucapkan tahniah. Bukan itu sahaja, beliau menawarkan rumahnya yang kosong di Taman Murni Parit Buntar untuk saya tinggal.

Saya masih ingat perbualan telefon itu, beliau dengan penuh mesra berkata “takpalah, jangan pikiaq sewa …duduk ajalah, kita kira hat tu kemudian aja… ana seronok enta menang… duduklah rumah ana tu, ana teringat kat ayah enta…anggaplah ana macam keluarga jugak.”

Rumah berkembar dengan laman tepi yang luas di Taman Murni itulah menjadi rumah tempat saya berteduh selama setahun sehingga saya berpindah ke Taman Kerian Permai. Saya tidak mungkin lupa jasa TS Harusani yang setia persahabatannya dengan ayahanda saya sehingga menganggap saya seperti keluarganya jua.

Ada juga saya berkunjung ke pejabatnya dan bertemu beliau dalam beberapa majlis di sekitar Parit Buntar. Beliau adalah anak kebanggaan Parit Buntar malah seluruh warga Parit Buntar berbangga ada kaitan denga TS Harusani .

Keluarganya besar di Parit Buntar dan saya berbangga walaupun tiada ikatan darah tetapi Allahyarham menganggap saya sebahagian dari keluarga besarnya.

Saya sering juga bertemu Allahyarham dan isterinya di tempat penginapan kesukaannya iaitu di Sunway Putra jikalau beliau ada temujanji dengan doktor di KL.

Itulah tempat saya ketika persidangan Parlimen berlangsung dan kerap juga secara kebetulan kami dapat bertemu dan bertanya khabar. Waktu itu beliau sudah pun agak keuzuran dan terhad pergerakannya.

TS Harusani akan dikenang sebagai seorang tokoh bukan sahaja di Perak tetapi jugak di seluruh negara. Suaranya tegas dalan pendirian agama bangsanya serta wataknya disegani kawan dan lawan.

Bagi kami di Parit Buntar Allahyarham adalah Ayahanda, Tok Wan dan ‘Kulaan’ yang kami banggakan. Menyebut nama Allahyarham sahaja sudah cukup menjadi kebanggaan kami orang Parit Buntar.

Semoga Allahyarham disemadikan bersama dengan jasanya dan khidmatnya yang moga-moga menjadi pahala dan dimasukkan ke syurga abadi kekal di dalamnya. Amin..amin..

..ليدخل المؤمنين و المؤمنات جنات تجرى من تحتها الانهار
خالدين فيها وكان ذلك عند الله فوزا عظيما

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *