Kanak-kanak maut kena renjatan elektrik

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menyertai satu pertandingan anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola, Taman Impian Emas, Skudai, di sini hari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.45 petang.

Menurutnya, mangsa dilaporkan menyertai aktiviti sempena bulan kemerdekaan dan kibar bendera Jalur Gemilang di padang berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa, Musyrif Hakimi Mussaffendy tidak memakai kasut dan lokasi tersebut basah kerana hujan.

“Mangsa dilaporkan sempat mengadu kepada rakan bahawa kakinya panas sebelum rebah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mussaffendy Mustapha berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di rumahnya yang berjarak hanya kira-kira 100 meter daripada padang berkenaan.

“Rakannya datang ke rumah dan memaklumkan kepada saya bahawa anak saya sudah tiada sebelum saya terus bergegas ke sana.

“Setibanya di sana, ramai pihak sedang cuba menyelamatkannya termasuklah dengan memberi bantuan pernafasan, namun ketika itu dia sudah tiada,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi.

Mussaffendy turut memberitahu, walaupun sedih dengan perkara yang berlaku namun dia dan keluarga reda dengan ketentuan ditetapkan Ilahi.

“Dia seorang anak yang baik, dia juga merupakan ketua darjah di dalam kelasnya. Pastinya kehilangan dia dirasai kami sekeluarga kerana dia merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

“Saya percaya dia berada di tempat yang lebih baik kerana kanak-kanak seperti dia tidak mempunyai sebarang dosa,” tambahnya sambil memberitahu beliau dan isteri sempat bergambar bersama mangsa hanya beberapa jam sebelum kejadian berlaku. – K! ONLINE

The post Kanak-kanak maut kena renjatan elektrik appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *