KANAK-KANAK LAPAN TAHUN DIBAHAM BUAYA

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya dalam kejadian di Kampung Muhibbah Hujung, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa Asmin Abdullah, 8, dipercayai mengikuti bapanya ke Sungai Kinabatangan untuk menurunkan perahu sebelum disambar reptilia itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan, Kapten Ahmad Roslan Mohd Kamel, berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai mandi di tebing sungai dan berada di belakang bapanya.

Katanya, bapa mangsa hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar air berkocak sebelum melihat anaknya ditarik buaya ke dalam sungai.

“Bapa mangsa dan penduduk juga cuba mendekati buaya apabila haiwan itu timbul sejam kemudian dengan mangsa dilihat berada dalam mulut buaya, namun dibawa masuk semula ke dalam sungai.

“Operasi mencari dilancarkan semalam sebaik kita menerima maklumat.

“‘Operasi masih lagi diteruskan dan setakat ini, mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Roslan berkata, operasi pencarian hari ini membabitkan 35 anggota penyelamat dan tiga bot.

Katanya, operasi itu turut dibantu oleh bot penduduk kampung.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *