Kanak-kanak dua, tiga tahun kes positif baharu di Kluster Sala

PUTRAJAYA – Dua orang kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun merupakan mangsa terbaharu Kluster Sala yang dikesan di Kedah sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 adalah sebanyak lapan kes.

Selain Kluster Sala, satu lagi kluster aktif di Kedah iaitu Kluster Tawar merekodkan satu kes positif membabitkan seorang remaja 18 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kes itu adalah sebahagian daripada tujuh kes positif baharu hari ini yang turut melibatkan empat kes import.

Beliau berkata, siasatan awal ke atas kes-kes positif Kluster Sala mendapati penularan jangkitan mungkin berpunca daripada amalan melawat hospital memandangkan di situ terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan.

“Kes indeks Kluster Sala mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarganya.

“Semua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit tersebut dikesan positif sebelum jangkitan merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, penularan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati antara lain berpunca daripada perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kapasiti tetamu perhimpunan misalnya tidal mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat antara satu sama lain.

“Ini sekali gus membantu penularan meluas dalam Kluster Tawar meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, berhubung kes import, Noor Hisham berkata, empat kes import pula membabitkan dua bukan warganegara dan dua bukan warganegara dengan kes adalah dari Bangladesh dan United Kingdom yang dikesan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kluster Hyde Park di Klang yang pernah mencatat empat kes sebelum ini diisytiharkan tamat.

“Tiada kes kematian direkodkan di kluster ini dan jumlah kluster yang ditamatkan setakat ini adalah 79,” katanya. – K! ONLINE

The post Kanak-kanak dua, tiga tahun kes positif baharu di Kluster Sala appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *