JPJ sasar RM1.3 juta kutipan siri nombor DDU

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyasarkan kutipan lebih RM1.3 juta hasil bidaan bagi siri nombor pendaftaran DDU 1, DDU 8, DDU 17 dan DDU 74 dalam tempoh lima hari.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan itu terbuka kepada semua warganegara dan penduduk tetap negara ini yang berusia 18 tahun ke atas termasuk perniagaan dan syarikat yang berdaftar.

Katanya, tarikh bidaan itu bermula pada 13 hingga 17 Ogos ini dan manakala 18 Ogos untuk pengumuman bidaan itu.

“Tiada had untuk membida namun, setiap kategori pembida mempunyai had kelayakan untuk menjadi pemenang.

“Bagi pembida individu, had kelayakan menjadi pemenang adalah sebanyak tiga nombor kenderaan bagi setiap siri manakala bagi syarikat atau perniagaaan lima nombor kenderaan bagi setiap siri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ, Panji di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Hanif Yusabra, harga bidaan bagi kategori siri nombor pendaftaran bernilai utama, nombor menarik, nombor popular dan biasa dikenakan kadar minimum sebanyak lima peratus daripada harga bidaaan.

Jelasnya, bagi siri nombor pendaftaran utama harga minimum ditetapkan sebanyak RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular ( RM800) dan nombor biasa (RM300).

“Sejak sistem bidaan JPJeBid diperkenalkan pada April 2019, siri nombor pendaftaran DDP hingga DDT mendapat kutipan tertinggi bagi negeri Kelantan iaitu sebanyak RM6 juta.

“DDD merupakan nombor siri yang paling tinggi iaitu bernilai RM7.3 juta dan siri DDS 1 mencatatkan bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM225,000,” katanya.

Tambahnya, bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan boleh dikemukakan melalui laman web jpjebid.jpj.gov.my atau aplikasi telefon pintar, JPJeBid. – K! ONLINE.

The post JPJ sasar RM1.3 juta kutipan siri nombor DDU appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *