JOHN ANGIAN : SAYA KEKAL BERSAMA UPKO YANG SAYA SAYANGI

KENINGAU: Bekas pemimpin veteran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk John Angian menafikan beliau telah meninggalkan parti itu untuk menyertai parti politik lain.

John yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah suatu ketika dulu, berkata beliau akan kekal bersama UPKO dan akan terus mencurahkan bakti kepada parti yang dianggap parti keramat itu.

Saya kekal bersama UPKO dan akan terus memberikan khidmat bakti seadanya kepada parti keramat kita ini.

”Sejak seminggu dua yang lalu, terdapat desas desus bahawa saya sudah meninggalkan parti kesayangan kami, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu atau UPKO dan menyertai parti politik lain.

”Saya akui, memang saya ada menghadiri satu perjumpaan dengan beberapa individu, termasuk beberapa pemimpin parti lain awal bulan ini namun dalam keakraban sesama kita orang Sabah, dalam sekelip mata ada sesi ambil gambar, dan saya ada bersama mereka.

”Namun, sebagaimana sesiapapun kita, bila berjumpa orang yang kita kenal di mana-mana pun juga, sekurang-kurang kita akan bersalaman, dan kalau sekarang mungkin ambil ‘selfie’ atau ‘wefie’.

”Saya yakin kemesraan sedemikian tidak salah, malah seharusnya kita pupuk demi perpaduan dan keharmonian kita semua di Sabah,” katanya dalam sidang media, di Bingkor, hari ini.

John yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UPKO dan Timbalan Ketua Bahagian UPKO Keningau berkata demikian ketika mengulas mengenai kewujudan gambar menyaksikan beliau bersama Anifah ketika presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu datang ke Keningau pada awal Ogos ini.

John berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya andaian bahawa beliau telah meninggalkan UPKO dan mendakwa perkara itu sebenarnya telah diputar belitkan oleh pihak tertentu.

”Saya tidak pernah keluar UPKO, apatah lagi memohon untuk menyertai parti lain.

”Kawan-kawan, termasuk anak saya sendiri yang juga Timbalan Ketua Bahagian UPKO Keningau, Kennedy tahu, saya telah menyertai beberapa program penting bahagian kami termasuklah aktiviti yang akan diadakan selepas sahaja sidang media ini.

”Menjelang PRN (Pilihan Raya Negeri) akan datang juga, saya sudah pun mula berkempen bagi UPKO walaupun hanya menerusi panggilan telefon dan keadaan-keadaan tertentu yang sesuai.

”Saya sudah berumur, namun cukup bersemangat untuk bekerja keras dan kerja secara bijak untuk melihat UPKO terus relevan serta kekal dengan perjuangan yang kami sudah sama-sama pikul sejak sekian lama,” katanya.

John turut yakin kepimpinan UPKO yang diterajui presiden Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan beroleh pencapaian gemilang dalam PRN kali ini.

”Saya menggesa kita semua untuk berdoa bagi Sabah, ‘Pray4Sabah’. Semoga PRN ini berjalan dengan lancar, serta akhirnya kita beroleh kerajaan Sabah yang kukuh, progresif dan ikhlas,” katanya lagi.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *