JDT berpesta gol, tewaskan Perak 7-0

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI

ISKANDAR PUTERI – Ketiadaan penyokong setia Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menghalang pasukan tuan rumah berpesta gol apabila menundukkan Perak 7-0 dalam saingan Liga Super, malam ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini itu menyaksikan JDT menjaringkan empat gol dalam separuh masa pertama.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya sehingga minit ke-20 permainan sebelum JDT berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-21 menerusi Mohd. Afiq Fazail.

Pesta gol pasukan tuan rumah berterusan pada minit ke-35 mereka berjaya menggandakan jaringan menerusi percubaan pemain import, Gonzalo Cabrera.

Tuah juga memihak kepada JDT apabila pada minit ke-43 mereka dianugerahkan sepakan penalti selepas Diogo Santo dijatuhkan oleh Muhammad Rafiuddin Roddin.

Cabrera tidak mensia-siakan peluang itu dengan menjaringkan gol ketiga JDT melepasi penjaga gawang Perak, Mohammad Nasrullah Abdul Aziz.

Muhammad Ramadhan melengkapkan separuh masa pertama JDT dengan menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan sebelum wisel rehat ditiup pengadil.

Permainan babak kedua bermula dengan JDT terus memburu jaringan apabila pada minit ke-62, Cabrera mencatat hatrik sekaligus menjaringkan gol kelima tuan rumah.

16 minit kemudian, Safawi Rasid yang dibawa masuk pada separuh masa kedua menambah jaringan pada minit ke-78 menjadikan keputusan 6-0.

Menutup malam sempurna JDT, Akhyar Rashid yang juga dibawa masuk pada separuh masa kedua menutup tirai jaringan JDT dengan gol ketujuh pada minit ke-83.

Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan JDT selaku pendahulu Liga Super sekaligus menutup harapan Perak untuk merampas kejuaraan.-K! ONLINE

 

The post JDT berpesta gol, tewaskan Perak 7-0 appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *