Jangan sentuh, ganggu dan tangkap ikan nemo

KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya pelancong di pulau-pulau peranginan di Terengganu diingatkan agar tidak mengganggu, menangkap dan menyentuh ikan badut atau lebih dikenali sebagai ikan nemo yang terdapat di perairan negeri ini.

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Liew Hon Jung berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja menganggu ekosistem semulajadi malah boleh mengancam spesis ikan nemo terutama daripada spesies False clownfish yang banyak terdapat di perairan Terengganu.

“Ikan Nemo tidak boleh dipisahkan dengan perumahnya iaitu buran atau anemon laut kerana kedua-dua spesies ini secara simbiosis hidup saling memberi manfaat antara satu sama lain.

“Ikan nemo dan ahli keluarganya hidup bersama-sama anemon laut sepanjang hayatnya. Haiwan itu hanya melakukan aktiviti harian tidak jauh daripada perumahnya, anemone laut.

“Anemon laut melindungi ikan nemo daripada diserang dengan mengeluarkan neurotoksin yang mampu melumpuhkan pemangsa termasuk manusia apabila disengat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran gambar seekor ikan nemo ditangkap sebelum dimasukkan ke dalam botol dipercayai dilakukan oleh seorang pelancong di Pulau Redang yang tular di media sosial baru-baru ini.

Hon Jung berkata, ikan nemo yang diganggu dan dipindahkan ke lokasi lain akan kehilangan arah kerana terpisah dengan perumahnya.

Jelas beliau, ikan nemo itu akan mencari semula perumahnya anemon laut dan sepanjang pencarian di kawasan terumbu karang terbuka tersebut, haiwan tersebut berisiko tinggi diserang pemangsa .

“Jika berjaya menemui anemon laut baharu pun, dia pun dihalau sekiranya sudah ada kumpulan ikan nemo lain yang telah menjadikannya sebagai perumah seterusnya mati.

“Anak ikan nemo yang gagal mencari perumah dalam tempoh sebelum 21 hari selepas menetas juga akan mati,” katanya.

Hon Jung berkata, kegagalan mendapatkan anemon laut sebagai perumah menjadi penyebab ikan nemo yang semakin berkurangan di perairan semula jadi. – K! ONLINE

The post Jangan sentuh, ganggu dan tangkap ikan nemo appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *