Identiti dua beranak masih belum dikenal pasti

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Identiti dua beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler terbabas di Kilometer 20, Jalan Keramat Pulai menghala ke Cameron Highlands dekat sini hari ini masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd. Aziz berkata, setakat ini pihaknya hanya mengetahui identiti pemandu treler yang merupakan suami mangsa, Mohd. Zuki Abu Bakar, 45.

Katanya, Mohd. Zuki yang cedera patah kaki kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Kita menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 2.40 petang yang membabitkan sebuah treler muatan tiang besi dipandu lelaki itu yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Cameron Highlands.

“Kenderaan tersebut bagaimanpun hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri bahu jalan dan masuk ke dalam longkang,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan isteri dan anak lelaki mangsa tersepit dalam kenderaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan tersebut berlaku di selekoh tajam dengan dua lorong dan dua hala.

“Mayat kedua beranak itu dihantar ke Jabatan Forensik HRPB Ipoh untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga. Setakat ini usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya. – K! ONLINE

The post Identiti dua beranak masih belum dikenal pasti appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *