Ibu redah 50km dengan motosikal hantar anak daftar USM

GEORGE TOWN – Demi masa depan anak lelakinya, seorang ibu sanggup meredah perjalanan kira-kira 50 kilometer (km) dengan motosikal bagi menghantar anak sulungnya mendaftar di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor di sini hari ini.

Jarak tersebut perlu dilalui seorang peniaga kuih, Jumiati Masud, 53, untuk menghantar Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, membuat pendaftaran sebelum dia bersendirian pulang ke rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini.

USM memberikan tiga pilihan untuk pelajar baharunya mendaftarkan diri sebagai warga kampus iaitu hadir mendaftar dan pulang bersama waris; hadir mendaftar, menempatkan barang dalam desasiswa dan pulang atau mendaftar dan terus tinggal di asrama.

Jumiati berkata, dia bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan untuk Muhammad Izzulhaq tinggal di asrama bagi menjamin keselesaan untuk menimba ilmu.

“Biarlah dia belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya.

“Saya tidak kisah terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk menghantarnya kerana mahu lakukan yang terbaik untuk anak saya,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata lelaki tersebut.

Muhammad Izzulhaq adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021.

Muhammad Izzulhaq ditempatkan di Desasiswa Restu, USM.

Sementara itu, Jumiati berkata, dia bersyukur kerana anaknya diterima untuk bergelar mahasiswa USM kerana tidak terlalu jauh dari rumah mereka.

“Sebelum ini dia pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Kuala Lumpur, namun kami terpaksa menolak kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan,” katanya sambil mengakui hanya memiliki motosikal sebagai kenderaan harian.

Sementara itu, Muhammad Izzulhaq menzahirkan rasa terharu dengan pengorbanan ibunya dan
berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya.

“Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke rumah, namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya.

“Saya berdoa semoga Allah permudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu di USM,” katanya yang
mendapat keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.96 dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Muhammad Izzulhaq berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu, USM. – K! ONLINE

The post Ibu redah 50km dengan motosikal hantar anak daftar USM appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *