Haziq masih trauma – bapa saudara

IPOH – Bapa saudara kepada salah seorang mangsa yang terselamat dalam nahas mengorbankan tujuh daripada dua keluarga di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini memberitahu, Muhammad Haziq Zikri Mohd. Zairul masih dalam keadaan trauma akibat kejadian tersebut.

Mohd. Zakri, 37, berkata, Muhammad Haziq Zikri, 9, yang kini sedang dirawat di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menangis ketika panggilan video dibuat.

“Kami ahli keluarga sekarang ini bergilir-gilir menjaganya. Emosinya juga masih belum stabil dan dia masih trauma selepas kehilangan ibu bapa dan adik kandungnya,” katanya ringkas.

Ibu bapa Muhammad Haziq Zikri iaitu Mohd. Zairul Mat Isa, 34, dan Noratiqah Abd. Hamid, 30, serta adiknya, Nur Qaseh Damia, 4, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambah Mohd. Zakri, dua lagi anak sepupunya iaitu Firash Mikael Azrie Shah, 11, dan Mohd. Shafiq Azrie Shah, 16, pula kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Katanya, mereka berdua belum tahun yang ibu bapa mereka, Hasliza Mahmud, 40, dan Zulkifli Shuib, 49, serta adik mereka, Mohd. Alif Firdaus, 3, sudah meninggal dunia.

Kosmo! kelmarin melaporkan, dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.30 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki 10 penumpang daripada dua keluarga itu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler tanpa muatan.

Kemalangan tragis tersebut menyebabkan tujuh daripada mereka termasuk ibu Mohd. Zakri, Fatimah Mat Isa, 68, meninggal dunia di lokasi kejadian. – K! ONLINE

The post Haziq masih trauma – bapa saudara appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *