Gangguan monyet liar undang bimbang, resah penduduk

Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR

JEMPOL- Penduduk di Kampung Gajah Mati dekat sini berdepan masalah apabila kediaman masing-masing sering diganggu monyet liar sehingga merosakkan barangan di rumah mereka.

Seorang penduduk, Ria Anggerina Abdullah, 35, berkata, gangguan monyet-monyet liar itu sudah berlaku sejak empat tahun lalu malah aduan juga sudah dibuat kepada Jabatan Perhilitan namun ia masih belum selesai.

Ujarnya, monyet-monyet tersebut sering menjadikan bumbung rumah penduduk sebagai tempat berkumpul hingga mengundang rasa tidak selesak malah lebih teruk, haiwan liar itu juga berani masuk ke dalam rumah dan merosakkan harta benda penduduk.

“Dalam tempoh setahun ini tak terkira sudah berapa kali monyet-monyet ini masuk ke dalam rumah dan merosakkan makanan di dapur.

“Monyet-monyet ini duduk atas bumbung rumah dan begitu agresif sehinggakan suami dan saya sudah banyak kali mengeluarkan belanja untuk mengganti atap yang bocor akibat haiwan ini,” katanya yang telah menyewa rumah yang didiami ketika ini sejak empat tahun lalu.

Ria Anggerina yang kini sedang hamil anak keenam turut memberitahu, kehidupannya yang bukan senang begitu terkesan dengan masalah yang dihadapi tersebut apatah lagi apabila monyet-monyet berkenaan turut merosakkan barangan makanan.

“Baru-baru ini monyet masuk rumah saya lagi, habis susu anak yang baru dibeli ditumpahkan, lampu dan cermin tingkap dipecahkan, barang-barang dapur seperti bawang, ubi kentang yang baru dibeli juga turut dimakan mereka.

“Saya bukan orang senang, suami hanya buat kerja kampung sahaja, ada rezeki suami beli barang-barang dapur namun belum sempat diguna, monyet-monyet ini terlebih dahulu kerjakan,” katanya.

Tambahnya, dia juga bimbang dengan keselamatan anak-anaknya yang masih kecil kerana kumpulan monyet tersebut begitu agresif sehingga sudah berani menyerang penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Maimon Hassan, 55, berkata, dia berharap pihak-pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang sedang dihadapi penduduk ketika ini.

“Sejak tahun 2017 lagi kejadian seperti ini telah berlaku, tetapi nak buat macamana, aduan sudah dibuat tindakan juga sudah ambil tetapi ia masih berlaku.

“Bagaimanapun, pihak berwajib perlu ada satu jalan penyelesaian yang berkesan dan baik untuk menangani masalah ini. Kami bimbang jika gangguan haiwan liar ini boleh sehingga mengancam nyawa, sebelum ini pun jiran saya pernah jatuh daripada motosikal akibat diserang monyet-monyet ini,” katanya. -K! ONLINE

 

 

The post Gangguan monyet liar undang bimbang, resah penduduk appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *