Gagal hadir prosiding komital, Azwanddin kena waran tangkap

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana gagal hadir prosiding komital (hina mahkamah) yang difailkan bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Teresa selaku plaintif selepas prosiding kes itu dalam kamar di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail.

Sankara memberitahu, waran tangkap itu dikeluarkan selepas mahkamah bersetuju dengan permohonan pihaknya selepas Azwanddin selaku defendan ingkar pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran.

“Defendan (Azwanddin) sepatutnya tahu mengenai prosiding hari ini kerana surat pemberitahuan telah dihantar kepadanya sebelum tarikh pendengaran prosiding komital itu.

“Setiap kali mahkamah memberi tarikh baharu, defendan ingkar pada arahan. Ada sekali beliau hadir dan ada juga beliau kemukakan MC (sijil cuti sakit) dan kadangkala beliau terus diam,” katanya.

Kata Sankara, berikutan itu pihaknya terpaksa membuat permohonan untuk waran tangkap dikeluarkan terhadap Azwanddin.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 September depan untuk mendengar permohonan prosiding komital berkenaan.

Terdahulu dalam prosiding itu Azwanddin tidak diwakili peguam.

Permohonan komital itu difailkan Teresa pada 8 Oktober tahun lalu berikutan Azwanddin telah melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan teresa berhubung ucapan fitnah terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik tahun lalu.

Ia berhubung Azwanddin gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sinchew Daily serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019.

Sebelum itu Teresa memfailkan saman fitnah pada Azwanddin pada 8 Januari, 2019 dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM ketika itu telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Disember, 2018.

Kes saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Kok mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya. – K! ONLINE

The post Gagal hadir prosiding komital, Azwanddin kena waran tangkap appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *