EWON MULAKAN KEMPEN DI KIAU

KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick memulakan kempen pada hari ini di kampung halamannya, di Kg.Kiau.

Penyandang DUN Kadamaian itu yang juga Naib Presiden UPKO mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung di Kg. Kiau Taburi, Kg.Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu sebelum meneruskan jelajah kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kaung iaitu di Kg.Kaung Ulu dan Kg.Lobong-Lobong.

Di Kiau Taburi Ewon bersama pemimpin Warisan, Ahli Parlimen Kota Belud Isnahraissah Munirah Majilis dan mantan wakil rakyat Kadamaian Datuk Yapin Gimpoton mengadakan perjumpaan dengan para pengundi kawasan itu.

Ewon ketika berucap pada Program Santai Bersama penduduk kampung di Kg.Kiau Bersatu

Dalam program di Kg.Kiau Nuluh, Ewon menyerahkan kunci van untuk kegunaan Koonduan Kiau Nuluh Enterprise (KKNE) yang diluluskan oleh Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal semasa lawatan ke kampung itu pada Disember 2018.

Semasa Pelancaran Pusat Pemprosesan Jem & Chutney Nenas Kampung Kiau Nuluh pada Disember 2018, Shafie meluluskan permintaan Pengerusi Persatuan Koonduan Kiau Nuluh Florence Duaneh yang mahukan sebuah kenderaan bagi membolehkan produk pengusaha nanas di situ dibawa ke pasaran.

Kenderaan untuk kegunaan usahawan wanita Kg.Kiau Nuluh

Ketika berucap, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu memberi penjelasan pelbagai isu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang serta berkongsi aspirasi dan manifestonya pada pilihan raya negeri Sabah kali ini.

“Manifesto saya hanya satu, iaitu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang merangkumi semua keperluan rakyat Kadamaian di 74 buah kampung.

“Tanggungjawab utama seorang wakil rakyat ialah menyelesaikan masalah yang ada didepan mata seperti keperluan dan pembangunan rakyat di kawasan yang diwakili,” katanya.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *