Esponsorama sokong VR46 ambil alih slot

LONDON – Esponsorama Racing mendedahkan pihaknya membuka laluan kepada Valentino Rossi untuk menubuhkan pasukan VR46 Team dalam saingan utama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2022 nanti.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengarah perlumbaan pasukan, Ruben Xaus yang memberi sokongan kepada Rossi untuk membentuk pasukan VR46 ke saingan utama MotoGP dengan mengambil alih slot pasukan Esponsorama Racing pada 2022.

MotoGP 2021 dikhabarkan bakal menjadi tahun terakhir pasukan Esponsorama Racing dalam kelas premier selepas tidak melanjutkan kontrak bersama Dorna Sports.

Disebabkan itu, impian Rossi untuk membina pasukan dalam kelas utama dijangka direalisasikan dan akan mengambil slot yang ditinggalkan Esponsorama Racing pada musim depan.

Tahun ini, VR46 sudah memulakan perancangan mereka dengan memasang logo VR46 pada jentera Luca Marini yang me­nyertai Esponsorama Racing dengan memacu mesin Ducati.

“Jika VR46 mengambil alih slot pasukan kami, sudah pasti saya sangat gembira dengan situasi tersebut. Bagaimanapun kami berdepan masalah kewangan yang serius selain ekonomi yang tidak stabil dan tidak dapat meneruskan perlumbaan pada musim akan datang. Kami akan menyelesaikan musim 2021 tanpa meninggalkan sebarang hutang tertunggak.

“Pada tahun ini kami membawa masuk dua pelumba baharu iaitu Enea Bastianini dan Luca Marini. Kami juga membuat perjanjian dengan Akademi VR46 untuk menggunakan jenama VR46 tersebut tahun ini,” katanya.

Tahun lalu, Esponsorama Racing tampil cemerlang bersama Johann Zarco. Pasukan tersebut turut mendapat bantuan pasukan Ducati dengan membantu Zarco menemukan kembali rentak terbaiknya. Hasilnya, Zarco menaiki podium di Grand Prix (GP) Republik Chezh dan podium pertama pasukan tersebut. – AGENSI

The post Esponsorama sokong VR46 ambil alih slot appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *