Enam gajah liar ditangkap

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

JERANTUT – Enam gajah liar termasuk empat betina dan dua ekor jantan yang mengalami konflik habitat di Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling berjaya ditangkap dalam operasi bersepadu di Kampung Doja Ulu Retang kelmarin.

Ketua Operasi Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, kesemua gajah yang ditangkap dipindahkan ke Kompleks Taman Negara Terengganu hari ini.

“Operasi hari ini melibatkan 25 anggota PKGK Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah Pahang yang mengambil masa  hampir lima jam bermula pukul 8.30  pagi.

“Operasi pemindahan itu menggunakan tiga gajah denak dari PKGK Kuala Gandah yang dilatih menjinakkan kesemua haiwan liar itu,” katanya di Kampung Doja di sini, hari ini.

Menurutnya, keenam-enam gajah liar berusia lapan hingga 25 tahun itu ditangkap dalam operasi bersepadu susulan aduan penduduk kampung mengenai kewujudan gajah di kawasan berkenaan.

Beliau memberitahu pada masa ini pihaknya menganggarkan antara 15 dan 20 ekor gajah liar lagi masih berkeliaran di kawasan berkenaan memandangkan ia terletak berdekatan dengan Hutan Taman Negara Jerantut.

Dalam pada itu, seorang penduduk Razak Daud berkata, pemindahan gajah berkenaan melegakan penduduk kampung yang berasa terancam dengan kewujudan gajah di kawasan itu.

Katanya, gajah-gajah berkenaan telah berkeliaran di kawasan itu sejak seminggu lalu menyebabkan penduduk sentiasa berwaspada. -K! ONLINE

The post Enam gajah liar ditangkap appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *