Empat lagi kluster di Sarawak tamat

Oleh NOR IDAYU BOSRO dan SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Empat kluster dari Sarawak diisytihar tamat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster tamat sebanyak 89 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut ialah Kluster Sentosa, Kluster Satok, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Kejuruteraan Kuching yang ditamatkan selepas tiada kes baharu selama 28 hari.

Beliau berkata,  Kluster Sentosa sebelum ini merekodkan 31 kes positif membabitkan 29 warganegara dan dua bukan warganegara yang dikesan di empat daerah iaitu Kuching, Bau, Samarahan dan Serian.

“Tiga lagi kluster iaitu Kluster Satok, Kluster PUI Melbourne dan Kluster Kejuruteraan Kuching masing-masing merekodkan empat, tiga dan lapan kes sebelum ini yang kesemuanya melibatkan warganegara.

“Bagaimanapun, tiada kes kematian dilaporkan dalam kluster-kluster ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, dan Perak kekal sebagai negeri berstatus ‘hijau’ apabila tiada kes Covid-19 selama 14 hari dari 11 Ogos hingga hari ini.

“Wilayah Persekutuan Labuan juga tersenarai sebagai negeri ‘hijau’,” katanya.-K! ONLINE

The post Empat lagi kluster di Sarawak tamat appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *