Elemen antirasuah dalam buku teks tahun depan

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Elemen pendidikan antirasuah di dalam buku teks di bawah subjek Bahasa Melayu akan diperkenalkan kepada murid tahun lima bermula tahun hadapan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, ia merupakan salah satu usaha yang diperkenalkan di bawah bidang pencegahan dan pendidikan.

Katanya, selain tindakan pencegahan, pendidikan masyarakat juga merupakan agenda utama SPRM dalam meningkatkan integriti individu terutama melibatkan masa hadapan sektor penjawat awam.

“Pelbagai usaha sedang dilakukan secara lebih strategik dan kita sedang memfokuskan kepada dua bidang iaitu perhubungan dengan masyarakat serta pendidikan di peringkat sekolah dan universiti.

“Bagi peringkat sekolah, elemen antirasuah akan diperkenalkan dalam buku teks subjek Bahasa Melayu bagi murid darjah lima bermula tahun depan manakala Program Antirasuah disediakan untuk murid darjah empat,” katanya ketika sesi dialog secara langsung bersama Melakafm, di sini hari ini.

Beliau berkata, elemen antirasuah itu juga akan dimasukkan di bawah Modul Exemplar Pendidikan bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Bagi prasekolah, kita akan memasukkan elemen nilai-nilai murni yang sesuai seperti yang dilancarkan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 oleh Perdana Menteri terdahulu.

“Kita juga berjaya mendapat kelulusan dan pengiktirafan dari beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Kolej Universiti Islam Melaka bagi penawaran subjek elektrik integriti,” katanya. – K! ONLINE

The post Elemen antirasuah dalam buku teks tahun depan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *