Ekuinas lupus ekuiti dalam PrimaBaguz

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) melupuskan 100 peratus ekuitinya dalam syarikat peneraju pembuatan produk berasaskan daging halal premium, Primabaguz Sdn. Bhd. (PrimaBaguz) berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM175 juta.
Ia diambil alih oleh Johnsonville International LLC (Johnsonville) yang merancang untuk meneroka hab makanan halal di dalam rantau ini.
Ditubuhkan pada tahun 1987, PrimaBaguz ialah pembuat produk berasaskan daging halal premium dan berkualiti tinggi seperti sosej, potongan daging, bebola daging, daging burger, sup dan sos.
Syarikat tersebut bekerjasama dan membekalkan produk kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa, khususnya di dalam segmen restoran khidmat pantas (QSR), hotel, restoran dan syarikat katering (Horeca) dan juga pemborong.
Kini, PrimaBaguz menghasilkan lebih daripada 100 produk dan menawarkannya kepada lebih 15 jenama di Malaysia dan 10 negara lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, langkah tersebut menggalakkan pelaburan langsung asing dalam industri pembuatan makanan dengan Johnsonville merancang untuk menjadikan PrimaBaguz sebagai hab makanan halal mereka bagi Asia dan Timur Tengah.

Jelasnya, pelan penciptaan nilai Ekuinas untuk PrimaBaguz telah menjana pertumbuhan pendapatan sebanyak 75 peratus sejak penglibatannya pada 2013, didorong peningkatan dalam kapasiti pembuatan dan rangkaian produknya.
“Inisiatif dalam pelan ini me­rangkumi penambahbaikan kapasiti dan peningkatan operasi, mempelbagaikan rantaian pembuatan produk bagi memenuhi keperluan klien yang berbeza, hubungan strategik pembekal dengan rangkaian restoran makanan segera terkenal dan memperkuatkan pihak pengurusan,” katanya.

The post Ekuinas lupus ekuiti dalam PrimaBaguz appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *