Ekuinas berjaya tingkatkan nilai ekuiti bumiputera kepada RM5.4 bilion

KUALA LUMPUR – Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) telah berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera dalam syarikat portfolio pelaburannya kepada RM5.4 bilion, atau 1.5 kali ganda modal yang dilaburkan setakat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir berkata, pertambahan ini mendorong kepada kenaikan dalam nilai kesemua pemegang saham sebanyak RM6.9 bilion, iaitu 1.9 kali ganda jumlah modal dilaburkan.

“Bilangan tenaga kerja bumiputera di syarikat portfolio juga mencatatkan peningkatan daripada bilangan pengurus seba­nyak 23.5 peratus dan kakitangan sebanyak 14.1 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Syed Yasir menerangkan, syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan itu telah melaksanakan pelaburan kumulatif dalam 41 syarikat, dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.1 billion.

Ia juga telah menjana impak positif terhadap ekonomi Malaysia secara meluas dengan membantu kemasukan modal bersama rakan sektor swasta sebanyak RM4.8 bilion.

Selain itu, bagi tahun kewa­ngan berakhir 31 Disember 2019, Ekuinas Direct (Tranche II) Fund telah mencatat prestasi kukuh dengan pulangan kasar portfolio RM582.9 juta dan menjana kadar pulangan dalaman (IRR) kasar dan IRR bersih tahunan masing-masing pada 13.5 peratus dan 9.6 peratus.

“Ekuinas Direct (Tranche III) Fund pula merekodkan kerugian kasar portfolio RM170.5 juta, bersamaan dengan IRR kasar tahunan negatif 10.8 peratus.

“Prestasi dana ini kebanyakannya didorong oleh penurunan penilaian beberapa syarikat portfolio.

“Ekuinas telah melaksanakan inisiatif penciptaan nilai yang ketat dan menyeluruh demi meningkatkan tahap daya saing syarikat di samping melaksanakan pelan pemulihan untuk menambah baik prestasi kewangan serta operasi mereka,” katanya.

Tambah Syed Yasir Arafat, pihaknya kekal fokus terhadap objektif membangunkan syarikat tempatan bersaiz sederhana dan menjadikan mereka pe­neraju industri serantau.

“Kami berharap dapat terus melaksanakan strategi sama untuk lebih banyak syarikat Malaysia yang berpotensi tinggi memasuki pertumbuhan fasa seterusnya,” katanya.

The post Ekuinas berjaya tingkatkan nilai ekuiti bumiputera kepada RM5.4 bilion appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *