Dua maut nahas motosikal berasingan

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Dua maut termasuk seorang warga emas apabila motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan berasingan di Kota Bharu dan Kuala Krai semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Mohd. Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan Sungai Sam – Dabong dekat Kampung Slow Temiang melibatkan dua motosikal pukul 11.45 pagi.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila seorang warga emas Jaafar Ali, 79 yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam perjalanan dari arah Sungai Sam menuju ke Dabong.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi motosikal.

“Mangsa yang cedera di kepala meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Manik Urai, Kuala Krai,” katanya.

Menurut Mohd. Zamri, penunggang motosikal yang dirempuh mangsa, Mohamad Sulaimi Awang, 50, hanya mengalami bengkak pada bahagian tangan kirinya.

Sementara itu, katanya, satu lagi kemalangan di Jalan Kampung Gong Dermin, Binjai, di sini menyebabkan Muhamad Farid Aiman Roslan, 19, maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Bukit Marak menghala ke rumahnya di Kampung Karang.

“Mangsa dipercayai menunggang motosikal secara cara melawan arus di sebelah kiri jalan sebelum dipercayai gagal mengawal motosikalnya.

“Insiden itu menyebabkan dia bertembung dengan motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang seorang wanita, Hamadah Yusof, 25,” katanya.

Menurut Mohd. Zamri, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tambahnya Hamadah mengalami kecederaan bahagian muka dan badan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

The post Dua maut nahas motosikal berasingan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *