Dua maut motosikal bertembung van kilang

ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Dua orang terbunuh selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah van kilang dalam kejadian yang berlaku berhampiran lampu isyarat di Jalan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam di sini kira-kira pukul 6.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila pemandu van tersebut yang dari arah Permatang Tinggi dan dalam perjalanan untuk menghantar pekerja kilang ke kawasan perindustrian di situ membelok ke arah kanan ketika berada di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Katanya, secara tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa datang dari arah bertentangan sebelum melanggar lampu merah di situ.

“Akibatnya, berlaku perlanggaran antara kedua-dua buah kenderaan tersebut.

“Penunggang dan pembonceng motosikal yang masing-masing berusia 23 dan 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala pemandu van pula selamat,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua yang maut merupakan pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan mereka tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Shafee memberitahu, kemalangan tersebut turut dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka van berkenaan.

“Proses bedah siasat ke atas kedua-dua mayat mangsa telah dijalankan di Hospital Bukit Mertajam kira-kira pukul 10 pagi tadi,” katanya yang memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

The post Dua maut motosikal bertembung van kilang appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *