Dua maut kemalangan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah

DUNGUN – Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Satria dan motosikal jenis Yamaha Y15 di Kilometer 110, Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Mohd. Izwan Mustafa , 29, yang memandu kereta Proton Satria dan penunggang motosikal Yamaha Y15, Mohamad Arif Amali Azhar, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria dipandu Mohd. Izwan yang dalam perjalanan ke Kemaman tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kereta tersebut melanggar besi penghadang jalan sebelum dirempuh motosikal Yamaha Y15 ditunggang Mohamad Arif Amali yang gagal mengelak.

“Impak kemalangan itu menyebabkan Mohamad Arif Amali tercampak memasuki tempat duduk penumpang belakang kereta Proton Satria terbabit,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah telah bergegas ke lokasi kejadian apabila menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 6.01 petang.

Beliau berkata, pasukan bomba tersebut mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap di dalam kereta remuk teruk itu.

“Pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

The post Dua maut kemalangan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *