Dua kes Covid-19 di Hospital Pantai Sungai Petani

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Hospital Pantai Sungai Petani hari ini mengesahkan dua kes jangkitan Covid-19 termasuk salah seorang daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.

Pihak hospital tersebut dalam satu kenyataan berkata, pesakit terbabit yang menerima rawatan di wad bagi sakit jantung pada 8 Ogos lalu menjalani ujian saringan Covid-19 setelah didapati mempunyai simptom jangkitan.

“Hasil ujian Covid-19 mendapati pesakit berusia 53 tahun itu positif dan kes diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata kenyataan itu, satu kes lagi membabitkan penjawat awam yang ke hospital itu bagi menjalani ujian akibat demam dan sakit tekak.

“Keputusan ujian pesakit itu juga positif,” ujarnya.

Menurutnya, proses pembersihan dan pembasmian kuman dilakukan di semua kawasan yang dikunjungi oleh pesakit mengikut panduan kawalan jangkitan yang ketat.

“Kesemua yang bersentuhan dengan pesakit sedang dikenal pasti dan semua kakitangan yang merawat pesakit itu dikuarantin dan ujian saringan turut dijalankan,” katanya.

Tambahnya, pihak hospital berkenaan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian dalam mengendalikan kes berkenaan.

“Perkhidmatan klinikal di hospital ini tidak terjejas dan pesakit boleh mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Sejak Januari lalu, Hospital Pantai menyediakan langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19, termasuk mengehadkan laluan masuk ke hospital, pemeriksaan suhu dan gejala ke atas setiap pelawat. – K! ONLINE

The post Dua kes Covid-19 di Hospital Pantai Sungai Petani appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *