Dominasi Gaga rentas kemungkinan

SEBELUM bergelar bintang pop ternama dunia ketika ini, motivasi Lady Gaga atau nama lengkapnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta, 34, untuk bergelar seorang artis pernah hampir mati.

Keparahan jiwa dalam hidupnya berlaku semasa dia menuntut di New York University, Amerika Syarikat (AS). Pada waktu itu, barangkali tidak ramai yang mengetahui bahawa wanita berketinggian 1.55 meter itu pernah menjadi mangsa buli apabila sering diherdik rakan-rakan seuniversiti kerana bercita-cita ingin menjadi bintang pop.

Lebih teruk, dia mempunyai kelompok pembenci yang sanggup mewujudkan sebuah akaun Facebook bernama Stefani Germanotta, you will never be famous (Stefani Germanotta, anda tidak akan pernah menjadi terkenal) sewaktu hasratnya menjadi penyanyi diketahui ramai. Episod tersebut sekali gus menamatkan riwayat Gaga sebagai mahasiswa.

Langkah wanita kelahiran New York itu bagaimanapun tidak berhenti dek onar manusia negatif.

Dia terus melangkah tanpa menoleh ke belakang. Barangkali itu resipi atau pegangan hidup yang kukuh terbina dalam jiwa. Buktinya, lihatlah di mana keberadaan Gaga ketika ini.

Sejak meluncurkan kerjaya nyanyian secara profesional pada 2005, Gaga yang meledak dengan single Just Dance itu telah mencapai pelbagai kejayaan membanggakan. Sesiapa yang pernah meragui impian Gaga pastinya tertunduk malu.

Terbaharu, Gaga mencatat sejarah sebagai artis pertama yang dinobatkan dengan Anugerah Tricon iaitu satu anugerah yang memberi pengiktirafan kepada artis atas pencapaian tiga disiplin iaitu muzik, lakonan dan ikon fesyen pada acara Video Music Awards 2020 (VMA2020).

GAGA muncul dengan album pop terbaharu berjudul Chromatica yang mendapat pujian ramai.

Menang besar

Bersinar terang bersama trofi tersebut ialah empat trofi lain yang tidak kurang bergaya iaitu Artis Terbaik, Lagu Terbaik, Kolaborasi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Kejayaan manis tersebut hasil kolaborasi lagu Rain On Me bersama Ariana Grande yang dimuatkan dalam album terbaharunya, Chromatica.

“Saya mahu berkongsi anugerah ini dengan semua orang yang berada di rumah yang merupakan satu tricon (ketua) dalam bentuk mereka sendiri.

“Saya mahu anda tahu bahawa anda juga boleh melakukan perkara sama. Saya yakin renaissance (zaman pembaharuan) akan tiba.

“Bara seni akan menguasai anda seperti kemaraannya memberi respons terhadap kemurahan hati dan rasa kasih sayang,” ucap Gaga penuh bermakna saat menerima trofi Anugerah Tricon.

Pada acara tersebut juga, Gaga seperti kelazimannya menjadi perbualan ramai. Tidak sahaja kemenangan besar yang dijulang, Gaga memukau sesiapa sahaja saat menghadirkan persembahan memukau dengan medley beberapa lagu dari album Chromatica iaitu 911, Rain On Me dan Stupid Love. Sekecil-kecil perkara tentang Gaga iaitu pelitup mukanya turut mengundang perhatian.

Pada acara tersebut, Gaga menggayakan sembilan pasang busana berbeza dalam setiap penampilannya, sama ada ketika menerima anugerah atau melakukan persembahan.

Bahkan ketika mengadakan persembahan dengan Ariana Grande menerusi lagu Rain On Me, mereka berdua memakai pelitup muka sekali gus memberi simbolik amaran kepada penonton betapa pentingnya ‘aksesori’ wajib tersebut sewaktu pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Jaga diri. Cakap apa yang anda mahu. Saya mungkin kedengaran agak menjengkelkan tetapi tolong pakai pelitup muka. Ini merupakan satu tanda hormat. Terima kasih,” kata Gaga.

BUKAN satu, sebaliknya Gaga membawa pulang lima trofi utama pada VMA 2020 iaitu Lagu Terbaik, Artis Terbaik, Kolaborasi Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Anugerah Tricon.

Filem Gucci

Saat diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik menerusi Rain On Me, Gaga memberi ucapan sarat falsafah: “Ketika menulis lagu ini, saya menangis teruk sehingga terasa seperti hujan turun dari mata.

“Namun, dengan ‘hujan’ yang melampau, anda tidak perlu lemas di dalamnya. Anda masih boleh berenang dan walaupun dipukul ombak. Jika anda terus berenang, anda akan menemui pantai yang tenang dan damai.”

Selepas memukau dunia dengan filem A Star Is Born dua tahun lalu sehingga melayakkan diri menembusi senarai pencalonan Pelakon Wanita Terbaik dan menang Lagu Original Terbaik, Gaga kini dilamar oleh sutradara prolifik dunia, Ridley Scott dalam sebuah filem berkisarkan keluarga pengasas jenama fesyen terkenal Gucci.

Dia bakal melakonkan watak utama iaitu Patricia Reggiani, isteri kepada pewaris kekayaan jenama Gucci, Maurizio Gucci yang mati dibunuh pada 27 Mac 1995.

Memetik laporan majalah Variety, naskhah yang ditulis oleh Roberto Bentivegna tersebut diadaptasi daripada novel karya Sara Gay Forden berjudul The House of Gucci: A Sensational Story of Murder, Madness, Glamour, and Greed.

“Saya memang sudah lama ingin menjadi pelakon tetapi nyanyian berlaku terlebih dahulu dalam hidup saya,” ujar Gaga sewaktu filem A Star Is Born menjemput pujian global.

Dari segi imej, dunia mengenali Gaga sebagai figura yang suka berkelakuan pelik dengan fesyen futuristik melampau. Di sebalik semua perkara pelik tersebut, tiada yang menidakkan kemampuan Gaga.

TUJUH tahun menyepi daripada VMA, Gaga kembali bukan hanya dengan fesyen futuristik yang menjadi perbualan ramai, dia juga menang besar dan menghadirkan persembahan yang memukau.

Rimbun muzik Gaga yang mulanya disemai benih pop telah membiak dengan bermacam-macam genre seperti jazz, metal, techno dan country.

Kredibilitinya diiktiraf dengan deretan anugerah termasuk Oscar, Grammy, Golden Globe dan puluhan acara berprestij lain.

Sisi lakonan terserlah dengan debut menerusi A Star Is Born, sekali gus memahatkan portfolionya dalam industri. Pertama kali berlakon watak utama, dia terus mendapat pencalonan utama dalam Academy Awards, itulah Gaga.

Keluar dari hiruk-pikuk dunia hiburan, tanggungjawab aktivisme Gaga digerakkan bersama ibu kandungnya, Cynthia Germanotta dengan penubuhan Born This Way Foundation sejak 2012.

Terhimpun dalam satu, portfolio Lady Gaga dalam tiga disiplin kehidupan tersebut melayakkan dirinya sebagai penerima Anugerah Tricon tahun ini.

The post Dominasi Gaga rentas kemungkinan appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *