Dicekup selepas dua jam pecah kereta

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Seorang penjenayah yang baru dua jam memecah masuk sebuah kereta di Taman Kobis, Lunas di sini berjaya ditahan polis dalam rondaan cegah jenayah pada semalam.

Lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di lorong taman perumahan tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.

Pemeriksaan pada suspek menemui beberapa barangan termasuk kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pelbagai bank milik individu lain.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim memberitahu, kegiatan suspek terbongkar selepas dia ditahan di salah satu lorong di Taman Kobis.

“Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Hi-Tech yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar taman perumahan itu bertindak menahan seorang penunggang motosikal kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui dompet serta dokumen penting milik orang lain seperti kad ATM dan kad pengenalan dengan salah satunya didapati milik seorang wanita berkaitan kes pecah kereta,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, wanita terbabit membuat laporan polis selepas kereta jenis Proton Wira miliknya yang dipecah masuk dengan beberapa barangan termasuk dokumen penting hilang dalam kejadian di Taman Kobis kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Menurut Azhar, dalam tangkapan itu, pihaknya juga menemui sebilah parang berukuran 46 sentimeter, pemotong wayar dan playar di dalam beg galas dibawa suspek.

Tambahnya, pihaknya sedang mengesan pemilik semua dokumen yang ditemui pada suspek dan percaya penahanan itu berjaya menyelesaikan beberapa kes curi dalam kereta yang berlaku di sekitar daerah ini dan kawasan berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi dalam kenderaan dan Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana memiliki kad pengenalan orang lain,” katanya.-K! ONLINE

The post Dicekup selepas dua jam pecah kereta appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *