Demi mencari kebenaran – Musa

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mahu memanfaatkan sebaik mungkin kebenaran diberikan Mahkamah Persekutuan bagi mencari kebenaran.

Musa menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya hari ini menyatakan beliau bersyukur permohonannya bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain berkaitan penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal didengar di Mahkamah Rayuan.

“Saya akhirnya diberi kesempatan membantah sepenuhnya kes ini.

“Mahkamah Persekutuan sudah memberi keizinan kepada saya meneruskan rayuan untuk diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan kes ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Shafie Apdal bersifat tidak akademik dan harus didengar sehingga dipastikan kesahihan pemecatan saya sebagai Ketua Menteri selepas pelantikan Shafie.

“Mahkamah juga berpendapat keputusan kes ini terlalu penting bukan hanya bagi seseorang individu tetapi bagi rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, Mahkamah Persekutuan menyatakan kes terbabit mempunyai implikasi undang-undang serts perlembagaan di peringkat persekutuan.

“Hal ini adalah tentang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan menegakkan perlembagaan Sabah. Ia bukan hanya mengenai saya,” katanya.

Terdahulu, permohonan 33 ADUN Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pembubaran DUN di negeri itu akan didengar Mahkamah Rayuan pada 7 September depan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar rayuan semua perayu terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan DUN pada 30 Julai lalu. – K! ONLINE

The post Demi mencari kebenaran – Musa appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *