De Bruyne dipilih pemain terbaik PFA

LONDON – Pemain antarabangsa Belgium, Kevin De Bruyne menjadi pemain Manchester City pertama dinobatkan sebagai Pemain Tahunan Terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional (PFA).

De Bruyne berjaya menewaskan empat pemain Liverpool yang menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas mempamerkan aksi cemerlang apabila menyamai rekod Thierry Henry dengan 20 umpanan gol.

Para pengundi memilih De Bruyne berbanding, Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson, Sadio Mane dan pemenang musim lalu, Virgil Van Dijk biarpun Liverpool menamatkan musim ini dengan kelebihan 18 mata berbanding City di tangga kedua.

Bagaimanapun, Liverpool masih berbangga selepas Alexander-Arnold dipilih sebagai Pemain Muda Tahunan Terbaik.

De Bruyne bukan sahaja mengecewakan empat pemain Liverpool berkenaan tetapi turut mengatasi rakan sepasukannya, Raheem Sterling untuk menjadi pemain City pertama menerima anugerah berkenaan.

“Ini adalah satu penghormatan besar. Untuk dipilih oleh rakan-rakan pemain bola sepak yang juga menjadi pesaing dari pasukan lain adalah suatu yang menakjubkan.

“Suatu yang aneh juga adalah kerana saya menjadi pemain City pertama menerima anugerah ini sedangkan semua pemain di kelab ini adalah yang terbaik,” katanya.

Selain melakukan umpanan gol, statistik juga menyaksikan De Bruyne menjadi pemain yang paling banyak mencipta peluang dan terlibat dalam gerakan menghasilkan gol, malah dia juga meledak 13 gol musim lalu.

“Saya tidak pasti sama ada musim lalu adalah musim yang terbaik tetapi saya sentiasa mahu bermain dengan baik dan memberikan aksi yang konsisten bersama City,” jelasnya.

Biarpun berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebanyak empat kali sebelum ini, tiada pemain City dipilih sebagai pemain terbaik berbanding Liverpool apabila tiga pemainnya dipilih dalam tempoh tujuh tahun. – AGENSI

The post De Bruyne dipilih pemain terbaik PFA appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *