CUCU GS SUNDANG ANTARA SERTAI UPKO DI KENINGAU

KENINGAU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahagian Keningau terus diperkuatkan dengan kemasukan ahli baharu yang juga cucu kepada salah seorang pengasas UPKO, mendiang Datuk G.S. Sundang.

Patricia Chan menyampaikan borang keahlian kepada Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau semasa Majlis perjumpaan bersama jentera pilihanraya Dewan Undangan Negeri DUN Bingkor, di sini, kelmarin.

Ketika ditemui Patricia memaklumkan beliau terpanggil untuk terlibat dengan politik kerana merasakan pembelaan terhadap hak-hak Sabah perlu diperhebatkan.

“Dulu masa muda kita tidak terlalu memikirkan soal politik, tapi bila keadaan pada masa ini, saya lihat banyak benda yang perlu kita perjuangkan.

“Sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, kita harus berjuang untuk mendapatkan hak-hak kita di negeri di Bawah Bayu ini secara bersatu padu dalam kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.

Menurut Patricia, sebelum beliau mengambil keputusan terlibat dengan mana-mana parti politik, beliau sebenarnya membuat beberapa penelitian terhadap perjuangan-perjuangan parti yang ada di Sabah.

“Saya telah membaca sejarah dan perjalanan UPKO. Selain perjuangan yang konsisten, saya memilih bersama UPKO sebagai memberi penghormatan kepada parti yang diasaskan oleh Datuk saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Madius dalam satu hantaran di laman rasmi facebooknya semalam turut mengalu-alukan penyertaan Patricia dalam UPKO.

“Salah seorang yang menghantar borang keahlian pada hari ini (kelmarin) cukup istimewa. Beliau merupakan cucu kepada Datuk G.S. Sundang.

“Ini bukan sahaja mengukuhkan lagi jentera dan kepimpinan UPKO Keningau, malah sekali gus menjadi penerus kepada legasi perjuangan mendiang Datuk G.S. Sundang dalam parti ini,” katanya.

Untuk rekod, Datuk G.S. Sundang bersama Tun Fuad Stephens merupakan pengasas UPKO pada tahun 1964.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *