Cubaan seludup benih kerang guna trak tunda gagal

LUMUT – Taktik terbaru percubaan menyeludup benih kerang ke luar negara menggunakan trak tunda gagal apabila berjaya dihidu pihak berkuasa menerusi satu tangkapan di Pantai Remis awal pagi tadi.

Dalam tangkapan kira-kira pukul 4 pagi itu, sebanyak 42 guni benih kerang bernilai RM58,800 ditemui disembunyikan dalam kawasan ruang kosong dalam trak tersebut yang ditutup dengan beberapa biji tayar.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Perak, Sallehudin Ismail, berkata tangkapan itu hasil risikan pihaknya dan Pasukan Polis Marin (PPM) sejak empat hari lalu.

“Ketika ditahan, trak itu dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Petani, Kedah, sebelum semua benih itu difahamkan akan dipindahkan ke kenderaan lain untuk diseludup ke negara jiran.

“Ini adalah kes pertama menggunakan trak tunda diubah suai untuk seludup kerang yang kami jumpa,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh dekat sini hari ini. Turut hadir, Ketua CPS Kampung Acheh, Mansor Yobe.

Menurut Sallehudin, dua lelaki yang menaiki trak tersebut berusia 22 dan 31 tahun dipercayai diupah oleh orang tengah dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya manakala semua benih kerang dan trak tunda berharga RM240,000 disita.

Katanya, benih kerang tempatan bernilai tinggi dan menjadi sasaran diseludup ke Thailand kerana harganya empat kali ganda lebih tinggi jika dijual di negara tersebut.

Beliau berkata, selain tangkapan itu, pihaknya dengan kerjasama PPM melakukan beberapa tangkapan lain yang melibatkan kes kesalahan berkaitan kerang dan bubu naga dalam operasi bersama pada kelmarin dan semalam dari kawasan Pulau Pangkor hingga Kuala Bernam.

Menurut beliau, sebanyak 33 kes berkaitan kesalahan kerang dan empat kes berkaitan bubu naga disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985; Peraturan 3, Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 serta Seksyen 11(3)(a) akta sama. -K! ONLINE

The post Cubaan seludup benih kerang guna trak tunda gagal appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *