Cekal jaga suami koma, adik sakit

SEBERANG PERAI – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itu yang dirasai oleh seorang pengusaha kedai makan, Siti Hajar Ahmad, 40, selepas suaminya, Rano Ramli, 41, koma sejak empat bulan lalu.

Menurut wanita yang turut bekerja sebagai penasihat mahkamah secara sambilan itu, doktor mengesahkan pembuluh darah dalam otak suaminya telah pecah sehingga menyebabkan Rano tidak sedarkan diri.

Sejak itu Siti Hajar menguruskan hampir segala-galanya termasuk hal ehwal persekolahan dua anak mereka berusia 13 dan 16 tahun dengan dibantu adik bongsunya, Mohammad Shahrizam Ahmad, 25, yang tinggal bersamanya sejak kecil.

Bagaimanapun, dugaan terus menimpanya apabila Mohammad Shahrizam pula terlibat dengan satu kemalangan jalan raya baru-baru ini hingga me­ngakibatkan daya ingatan serta koordinasi badannya terjejas.

“Saya sekarang tak boleh lagi bekerja kerana suami dan adik bongsu perlukan penjagaan rapi hampir setiap masa.

“Mujurlah kedua-dua anak saya memahami keadaan saya selain dibantu saudara, rakan-rakan dan jiran,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Bukit Teh, Bukit Mertajam di sini kelmarin.

Siti Hajar berkata, dia mene­rima bantuan hampir RM1,000 sebulan hasil sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban suaminya.

Kedua-dua anaknya turut menerima bantuan biasiswa daripada pihak sekolah atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam pelajaran masing-masing.

Bagaimanapun, bantuan untuk Mohammad Shahrizam belum diterima setakat ini.

“Kalau nak ikutkan, jumlah bantuan (RM1,000) itu sebenarnya tidak mencukupi kerana perbelanjaan untuk suami sahaja termasuk pembelian susu khas, lampin pakai buang dewasa dan ubat-ubatan mencecah RM2,000 sebulan.

“Jumlah itu belum dikira lagi kos untuk adik saya yang me­lebihi RM1,000 sebulan,” ujarnya.

Siti Hajar berkata, buat masa ini, dia terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri dan anak-anak selain sumbangan daripada mereka yang prihatin dengan nasib keluarga itu.

Siti Hajar memberitahu, katil yang digunakan oleh adiknya ketika ini telah diberi pinjam oleh seorang individu yang prihatin dengan nasib Mohammad Shahrizam, manakala katil suaminya pula sumbangan ZPP.

“Sebenarnya, sudah beberapa kali doktor memberitahu saya bahawa suami tiada harapan untuk terus hidup, namun saya lebih percayakan kuasa Tuhan dalam hal ini.

“Alhamdulillah, suami telah menunjukkan peningkatan yang positif sejak kebelakangan ini dan ia memberi motivasi kepada kami sekeluarga untuk terus menjaganya,” ujarnya.

Rano sebelum ini bekerja sebagai tukang masak selain turut bertugas sebagai penasihat mahkamah secara sambilan.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 157091223311 atas nama Siti Hajar Ahmad.

The post Cekal jaga suami koma, adik sakit appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *