Cadang Jalan Persiaran Gurney ditukar kepada Jalan Palestin

KUALA LUMPUR – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mencadangkan agar Jalan Persiaran Gurney ditukar nama kepada Jalan Palestin berbanding Jalan Raja Laut 1 yang diumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Mohd. Soufi Anual berkata, mereka menyokong usaha DBKL untuk meletakkan nama Palestin sebagai nama jalan kerana ia merupakan satu pengiktirafan atas dasar keimanan dan kemanusiaan sejagat.

Begitupun, katanya, berkenaan nama jalan yang dipilih, mereka lebih cenderung untuk mencadangkan nama Jalan Persiaran Gurney yang dinamakan atas nama Henry Gurney.

“Buat pengetahuan umum, Henry Gurney ialah Setiausaha Kehormat British ke Palestin bermula 1946 hingga 1948.

“Di sana, beliau memainkan peranan yang besar dalam isu Israel-Palestin, pastinya dalam memenangkan Israel hingga tercabulnya tanah suci Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Soufi Anual berkata, Gurney kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pesuruhjaya Tinggi British malah dihantar pula berkhidmat ke Tanah Melayu.

“Betapa signifikan sekali andai nama penjajah ini yang ditukarkan kepada nama Palestin,” katanya. – K! ONLINE

The post Cadang Jalan Persiaran Gurney ditukar kepada Jalan Palestin appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *