Budak lemas selepas tergelincir semasa mandi-manda

Oleh ZAKI SALLEH

TAIPING – Percutian tujuh beranak yang berkunjung ke Air Terjun Chalet Latip, Batu Kurau dekat sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas hari ini.

Mangsa, Nurul Syahfiqah Muhamed Fairuz, 9, dipercayai terjatuh setelah tergelincir semasa mandi-manda di kawasan berbatu kira-kira pukul 2.22 petang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa dari Kampung Tekah datang ke chalet tersebut bersama enam ahli keluarga termasuk ibu bapa.

Katanya, ketika kejadian mangsa sedang mandi bersama adik-beradiknya yang berjauhan dengan ibu bapa mereka.

“Mangsa dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tiba-tiba tergelincir jatuh.

“Ibu bapa mangsa dan orang awam yang berada di situ telah mencari mangsa sebelum ditemui beberapa meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Osman, sepasukan anggota bomba bersama petugas perubatan telah memberikan bantuan pernafasan selama beberapa minit sebelum mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau, Mohd. Hisyam Osman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 2.27 petang.

Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari balai berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan kecemasan.

Katanya, semasa bomba tiba mangsa telah pun ditemui oleh orang awam dan dibawa naik ke tebing lalu diberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan telah meninggal dunia. – K! ONLINE

The post Budak lemas selepas tergelincir semasa mandi-manda appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *