Bomba tangkap dua ular dalam sehari

Oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Kurang lapan jam, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin menerima dua panggilan bagi menangkap ular sawa di daerah berkenaan.

Ketua balainya, S Dulasi Nathan berkata, panggilan pertama yang diterima pasukannya adalah pada pukul 9.15 pagi iaitu membabitkan aduan ular sawa di Taman Gunung Mas, Tampin.

Menurutnya, pasukannya tiba di lokasi aduan pada pukul 9.17 pagi dan mendapati ular berkenaan sedang berlingkar di kabel elektrik di hadapan rumah penduduk.

“Anggota berjaya menangkap ular sepanjang dua meter berkenaan menggunakan besi dan penjerut. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi.

“Manakala, panggilan kedua yang kita terima adalah pada pukul 4.45 petang juga membabitkan aduan ular sawa,” katanya, di sini, hari ini.

Dulasi berkata, pasukannya tiba di lokasi aduan iaitu di Taman Ametis Tampin pada pukul 4.48 petang dan mendapati ular berkenaan melingkar di timbunan rumput.

Menurutnya, anggotanya berjaya menangkap ular berkenaan dan operasi tamat pada pukul 5.00 petang.

“Ular berkenaan dilepaskan ke dalam kawasan hutan,” katanya. – K! ONLINE

The post Bomba tangkap dua ular dalam sehari appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *