Bintang Bollywood, Sanjay Dutt hidap kanser

MUMBAI – Bintang Bollywood yang hidupnya penuh warna dan tragis, Sanjay Dutt disahkan menghidap kanser paru-paru, lapor media India hari ini.

Aktor filem Hindi bergelar Deadly Dutt itu pernah menjalani hukuman penjara kerana memiliki senjata api dibekalkan oleh gengster yang bertanggungjawab  melakukan pengeboman di Mumbai pada tahun 1993. Selain itu,  Sanjay juga bergelut dengan masalah ketagihan dadah.

Hari ini, aktor veteran tersebut mengeluarkan kenyataan di media sosial  bahawa dia mengambil cuti pendek untuk menjalani rawatan perubatan.

Laporan akhbar kemudian memetik kenyataan Twitter oleh wartawan perfileman yang dihormati,  Komal Nahta sebagai menyatakan, aktor berumur 61 tahun itu menghidap barah paru-paru dan akan pergi ke Amerika Syarikat (AS) untuk proses rawatan.

Sanjay melonjak popular pada pertengahan tahun 1980-an menerusi beberapa filem aksi yang menyaksikan dia melakukan sendiri adegan lagak ngeri.

Bagaimanapun, bintang filem itu turut bergelut dengan penyalahgunaan dadah termasuk heroin dan kokain yang dikatakan berpunca daripada kesedihan akibat kehilangan ibunya, Nargis Dutt akibat barah.

Selepas beberapa lama menyendiri, Sanjay kembali membintangi sejumlah filem pada akhir 1980-an dan awal tahun 1990-an termasuk Jeete Hain Shaan Se, Saajan dan Khal Nayak.

Kehidupannya bertukar dramatik apabila dia ditangkap di Mumbai susulan serangan bom di bandar raya itu pada Mac 1993 yang meragut 257 nyawa.

Sanjay akhirnya didapati bersalah dalam tahun 2006 kerana menyimpan senjata api  dibekalkan oleh ketua-ketua mafia yang mendalangi siri letupan tersebut.

Dia pada asalnya dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan berada selama lapan bulan di penjara sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada 2007 sementara menunggu rayuan.

Dalam tahun 2013 pula,  keputusan bersalah terhadap Sanjay  dikekalkan tetapi hukuman penjara dikurangkan kepada lima tahun. Sanjay dihantar semula ke penjara sebelum dibebaskan pada awal 2016.

Sanjay juga berkahwin sebanyak tiga  kali. Isteri pertamanya, Richa menghidap ketumbuhan dalam otak pada 1987 dan meninggal dunia dalam tahun 1996. – AFP 

 

                

The post Bintang Bollywood, Sanjay Dutt hidap kanser appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *