Bersatu terbuka bekerjasama dengan sekutunya pastikan kemenangan PRN Sabah

Oleh IVAN AMIRUL

TUARAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah sentiasa terbuka bagi bekerjasama dengan sekutu lain dalam memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor berkata, parti berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah dan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain.

“Bersatu mempunyai pendekatan tersendiri bagi situasi menang-menang. Kita tidak akan mengambil semua mahupun sebahagian besar kerusi kerana perlu melihat kepentingan sekutu lain.

“Saya sudah beberapa kali bertemu dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kami akan memikirkan secara bijak dalam memutuskan keputusan terbaik untuk pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran hari ini.

Hajiji yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut menyatakan pihaknya bakal mengadakan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN) minggu depan untuk membincangkan berkaitan pembahagian kerusi dan persiapan PRN.

“Bersatu Sabah diberi otonomi dalam membuat keputusan tetapi kita masih perlu meminta nasihat daripada presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai calon dan kerusi yang akan dipertandingkan.

“Kita akan mengumumkan butiran berkaitan sebelum hari penamaan calon.” katanya.

Sementara itu, Hajiji menerusi ucapan perasmiannya mengatakan Parti Warisan Sabah (Warisan) harus dikalahkan berikutan ekonomi Sabah terjejas teruk selama dua tahun parti itu memimpin kerajaan negeri.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh PRN akan diadakan pada 26 September dengan hari penamaan pada 12 September dan pengundian awal 22 September.

Pengundian diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah mewujudkan kerajaan baharu.

The post Bersatu terbuka bekerjasama dengan sekutunya pastikan kemenangan PRN Sabah appeared first on Kosmo Digital.

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *