BERI KERJASAMA DENGAN PANTAS UNTUK LANCARKAN PENGUKURAN TANAH

TAMPARULI: Penduduk asal Sabah digesa bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS), Jabatan Tanah dan Ukur ketika kerja pengukuran dibuat di lapangan.

Ketua Pemuda UPKO Tamparuli, Patrick Tuin, berkata ia untuk menjimatkan masa dan kos pengukuran tanah.

Jelasnya lagi, kerjasama diberikan juga mampu mengelak salah faham di kalangan penduduk mengenai kedudukan tanah yang perlu dikeluarkan geran.

“Kita memuji usaha berani Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menghapuskan geran komunal yang diperkenalkan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan digantikan dengan geran NT (Native Title).

“Kita berharap penduduk beri kerjasama sepenuhnya kepada pasukan PANTAS demi memudahkan pengeluaran geran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika gotong royong penduduk bersama pasukan PANTAS Jabatan Tanah dan Ukur Tuaran di Kampong Rongis, di sini, baru-baru ini.

Patrick berkata, geran komunal bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk asal Sabah, tetapi dalam beberapa kes, hanya memberi keuntungan kepada segelintir syarikat pembalakan yang mendapat keuntungan besar.

Katanya, penduduk asal pula tidak mempunyai hak ke atas terhadap tanah tersebut.

“Malah, walaupun nama mereka tersenarai dalam geran komunal tersebut, tetapi mereka langsung tidak tahu di mana kedudukan tanah mereka.

“Kita juga berharap kerajaan memansuhkan sama sekali Seksyen 76, Geran Komunal, Ordinan Tanah Sabah ( Cap 68 ) sekiranya rakyat memberi mandat baru kepada kerajaan pimpinan ketua enteri sekarang,” katanya.

Patrick turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan UPKO Tuaran kerana telah mencalonkan beliau sebagai calon UPKO untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli.

Patrick yang juga jurutera bertauliah percaya UPKO mampu meraih kemenangan besar di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana sebahagian besar rakyat masih mahu memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Warisan-UPKO-PKR-DAP untuk terus memerintah Sabah.-http://beritasabah.com

Source

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *